IPOH: Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang guru wanita yang dilaporkan hilang sejak 10 Disember lalu.


Ringkasan AI
  • Nur Nazalishah Ahmad, seorang guru di SMK Anderson, dilaporkan hilang sejak 10 Disember 2024. Kali terakhir dia dilihat di kawasan sekolah tempatnya mengajar.
  • Menurut maklumat, Nur Nazalishah mengalami tekanan akibat masalah rumah tangga sebelum kehilangannya.
  • Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500.


Nur Nazalishah Ahmad, 43, beralamat di Taman Lapangan Harmoni dekat sini kali terakhir dilihat berada di kawasan sekolah tempatnya mengajar.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kehilangan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson itu diterima selepas abang wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Tampoi, Johor.

"Berdasarkan maklumat diberikan, mangsa sebelum ini ada mengalami tekanan masalah rumah tangga.

"Usaha pencarian telah dilakukan bagi mengesan mangsa namun sehingga kini dia masih lagi belum ditemui," katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu terbabit diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500. -Sinar Harian