Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa impak pelaburan kepada rakyat adalah perkara termustahak dan usaha perlu ditujukan ke arah itu.
Impak yang dimaksudkan adalah berkenaan jumlah peluang pekerjaan yang dicipta dan kadar gaji yang diberikan yang menjadi faktor utama dalam mengukur kesejahteraan masyarakat.
“Apakah juga impaknya (pelaburan) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita dan kepada masyarakat di sekitarnya.
“Kita selalu bercakap tentang nilai pelaburan tapi berapakah nilai yang telah direalisasikan - contohnya daripada nilai RM1 yang dilabur, berapa banyak pekerjaan yang dicipta dan pembangunan ekonomi rakyat,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Justeru katanya perlu ada pemantauan menerusi laporan mengenai impak pelaburan kepada masyarakat dan ianya perlu didasari prinsip ketelusan dan ketulusan.