"Petronas sangat percaya bahawa kerjasama global akan menjadi satu-satunya cara untuk menghadapi ketidaktentuan dan kemeruapan yang berpanjangan yang kita lihat hari ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Tengku Muhammad Taufik.
"Kami percaya bahawa siri tindakan sempena perhimpunan di Davos juga mesti mempertimbangkan keperluan ekonomi di negara pesat membangun seperti Asean," katanya kepada Bernama di luar acara WEF.
Dalam hal ini, sebagai pemain tenaga yang beroperasi di tengah-tengah rantau ini, Petronas kekal dengan komitmennya untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan, rakan setara merentas industri dan rakan serantau dalam menangani peralihan tenaga dengan cara yang adil dan bertanggungjawab.
"Kami akan terus menunjukkan bahawa industri tenaga boleh menawarkan penyelesaian untuk membekalkan kepada dunia dengan tenaga yang diperlukan pada hari ini - produk yang lebih bersih dan berbeza," tambahnya.
Energy Asia 2023 yang akan diadakan selama empat hari bermula 26 Jun, 2023, menghimpunkan pemimpin industri global, pelabur dan penggubal dasar untuk bergerak melangkaui ikrar dan menyelesaikan cabaran dalam peralihan tenaga bagi mencapai masa depan sifar bersih yang adil dan bertanggungjawab untuk Asia.
WEF, dengan tema pada tahun ini ialah "Kerjasama Dalam Dunia Terpisah: Menangani Krisis Mendesak, Mengendalikan Cabaran Masa Depan" diadakan di tengah-tengah pelbagai krisis yang hanya meningkatkan lagi perpecahan serta pemisahan landskap geopolitik dunia.
Ia bertujuan mempercepatkan kemajuan ke arah mencapai sasaran sifar bersih, alam sekitar yang positif.
-- BERNAMA