KUALA LUMPUR: Watsons Malaysia terus mengukuhkan jenamanya sebagai peneraju peruncit produk penjagaan peribadi dan kecantikan dengan pembukaan cawangannya yang ke-700.

Kedai baharu di KSL Esplanade Mall, Klang itu menjadi batu aras penting dan bukti komitmen Watsons Malaysia untuk membawakan kepada pelanggan produk-produk inovatif serta pengalaman membeli yang tiada tandingan.

Walau berdepan cabaran pandemik COVID-19, Watsons Malaysia berupaya untuk kekal berkembang dari 535 cawangan pada 2019 kepada 700 cawangan hari ini bersama pertambahan ahli setianya dari 5.7 juta kepada 7.2 juta dalam tempoh sama.

Pengarah Urusan Kumpulan A.S. Watson Group, Dominic Lai, pada majlis perasmian kedai ke-700 tersebut berbesar hati mengumumkan bahawa Watsons diangkat sebagai peruncit barangan penjagaan peribadi dan kecantikan nombor satu dalam Campaign-Asia Top 50 Brands.

“Pencapaian menakjubkan ini takkan boleh berlaku tanpa sokongan tidak berbelah bahagi daripada pelanggan kami.

“Kami akan meneruskan kemajuan ini bersama pelanggan kami dan membina masa depan yang lebih baik untuk kita semua bersama dengan tujuan yang jitu serta komitmen untuk memastikan pelanggan kami ‘Look Good, Do Good, and Feel Great’,” katanya.

Bagi menandakan pencapaian tersebut, kedai ke-700 itu menekankan integrasi ‘O+O’ (Online + Offline), menyediakan keselesaan menyemak imbas dan membeli produk menerusi pelbagai saluran buat para pelanggan.

Kedai baharu itu menampilkan konsep terbaharu G9 yang menyediakan perkhidmatan unik termasuk ciri inovatif kaunter ‘Style Me’ yang dilengkapi teknologi realiti terimbuh (augmented reality, AR) untuk pelanggan mencuba produk secara maya, lorong ekspres khas Watsons Elite untuk ahli istimewa, stesen isian semula produk, serta kaunter bayaran sendiri.

Watsons KSL Esplanade tampil dengan pelbagai ciri inovatif, termasuk stesen isian semula.

Kata Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh, mereka sentiasa mengikuti perkembangan trend pengguna dan keprihatinan itu diterjemahkan dengan pelaburan dalam teknologi untuk kekal relevan.

“Bersama itu, kami juga membawakan banyak produk baharu eksklusif di Watsons, dan saya harap pelanggan dapat menikmati pengalaman baharu perkhidmatan kami di samping produk-produk yang ada di Watsons,” katanya.

Dengan teknologi inovatif, kod QR ditempatkan secara strategik di serata kedai, membolehkan pelanggan mengakses maklumat tambahan serta promosi sesuatu produk, sekali gus menghubungkan jurang antara pengalaman fizikal dengan digital.

Watsons KSL Esplanade Mall itu juga memperkenalkan kawasan ‘e-Stamp’ di mana pelanggan boleh membeli, mengumpul cop dan menuntut barangan eksklusif, yang nyata menambah nilai kepada pengalaman membeli mereka.

Turut memenangi anugerah tertinggi Platinum Putra Brands Awards dalam kategori runcit untuk kali kesembilan berturut-turut sejak 2014, Watsons Malaysia tekad untuk terus menjadi jenama runcit utama dalam minda pelanggan.

“Ia merupakan 29 tahun yang menakjubkan sejak Watsons Malaysia pertama kali memasuki industri runcit, dan sepanjang perjalanan ini, kami telah mencapai pelbagai penanda aras dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai jenama runcit nombor satu dalam kalangan pelanggan.

“Pembukaan kedai Watsons Malaysia ke-700 ini menjadi kenyataan kepada komitmen tak berbelah bahagi kami untuk menjadikan produk dan perkhidmatan kami mudah diakses kepada pelanggan kami yang dihargai,” tambah Caryn.

Untuk maklumat lanjut, layari watsons.com.my atau dapatkan sorotan harian daripada Facebook dan Instagram Watsons Malaysia.