Polis meminta ahli keluarga atau rakan menuntut mayat lelaki yang mempunyai tatu kala jengking di belakang bahu kiri, di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Ismail Idris berkata keputusan bedah siasat mendapati lelaki berkulit cerah dipercayai warga asing itu mati akibat dijerut dengan kain.

"Keputusan bedah siasat juga mendapati mangsa telah mati selama tiga atau empat hari berdasarkan keadaan mayatnya yang telah mereput dan berbau," katanya pada Isnin.

Sabtu lepas, sekumpulan nelayan menemui mayat lelaki itu dalam keadaan berbungkus dengan selimut tebal (comforter) terdampar di sebuah pulau buatan berdekatan Jambatan Pulau Pinang pada pukul 5.30 petang.

Katanya mayat mangsa ditemui dengan hanya berkain pelekat dan memakai seluar pendek.

Ismail berkata polis yakin lelaki berusia antara 35 tahun dan 40-an itu dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampak ke laut.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghubungi pegawai penyiasat, Mohammad Khalil Khalid di talian 019-4116656 untuk membantu siasatan.