Warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam dikejutkan dengan insiden pelajar dilanggar kereta pensyarah sehingga mangsa terpelanting ke perhentian bas berdekatan.

Penuntut tahun dua Diploma Sains Sukan dan Rekreasi, Fatin Farradia, 20, meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam semalam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang setelah mengalami pendarahan dalaman.

Insiden ini mendapat reaksi daripada kalangan warga UiTM.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Ahmad Faisal Mohamed Fiah, 35, berkata beliau hanya dibezakan 10 saat sahaja daripada kemalangan itu.

“Saya bersama seorang staf fakulti baru sahaja kembali dari UTM Semarak dan hanya dibezakan 10 saat daripada kemalangan yang berlaku di palang automatik fakulti,” katanya ketika dihubungi.

Pelajar Undang-Undang UiTM, Ahmad Faris, 22, juga terkejut mendengar berita kemalangan ini.

“Saya yakin ia adalah satu kemalangan yang tidak dapat dielakkan. Ia sangat menyedihkan tetapi itulah, ajal dan maut di tangan Tuhan,” katanya.

Beliau juga berharap urusan pengurusan jenazah mangsa berjalan dengan lancar dan mendoakan arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Pelajar Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Profesional, Asiah Aisyah, 21, berkata insiden ini memberi pengajaran kepada semua pihak.

“Perkara yang berlaku semalam mengajar semua pelajar dan pensyarah lain untuk mengambil tindakan supaya lebih berhati-hati semasa memandu dan peka dengan keadaan sekeliling semasa berada di dalam kampus,” katanya.

Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, Abang Mohd Hafizie Abang Bunsu, 23, ketika dihubungi berkata jenazah selamat disembahyangkan di HTAR dan akan dikebumikan di Dungun, Terengganu.

“Kami menemani keluarga mangsa di HTAR sejak semalam dan kami telah mengadakan tahlil ringkas di Masjid Tuanku Mizan UiTM Shah Alam pada malam semalam,” katanya.

Menurutnya, Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar turut melawat keluarga mangsa di HTAR pagi tadi.

“Tan Sri hadir lebih kurang pukul 11 pagi tadi dan turut kelihatan juga pensyarah yang terlibat dalam kemalangan semalam bersama suami dan anaknya,” kata beliau.

Dato Sahol Melawat Keluarga Mangsa

Beliau turut menyatakan MPP UiTM Shah Alam dan semua Jawatankuasa Perwakilan Kolej UiTM Shah Alam akan mengadakan bacaan Tahlil di Masjid Tuanku Mizan UiTM Shah Alam dan surau kolej masing-masing malam ini.