Seorang rakyat Malaysia yang berada di Nepal ketika kejadian gempa bumi di sana Sabtu lalu berkongsi pengalaman cemasnya yang ketika itu berada di tingkat 14 sebuah pangsapuri.

Mahendran Arumugam, 32 yang bertugas sebagai Pegawai Perunding di salah sebuah syarikat di sana berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 11 pagi itu menyebabkan beliau terus bergegas turun ke lobi pangsapuri.

Pada mulanya, Mahendran menganggap ia hanya gempa bumi biasa, tetapi letupan yang kedengaran menyebabkan beliau terus bertindak menuruni tangga dari tingkat 14 pangsapuriya yang terletak di Pepsi Cola, Kathmandu.

“Gegaran yang kuat berlaku selama 2 minit, kemudian disusuli dengan letupan yang kuat. Selalunya di sana memang biasa berlaku gegaran kecil kerana Nepal terletak di Banjaran Himalaya. Jadi saya fikir ia mungkin gempa bumi biasa.

Gempa bumi Nepal
Bangunan lama yang runtuh dalam gempa bumi paling dasyat di Nepal - Foto Mahendran


“Tetapi apabila gegaran berlaku semakin kuat saya terus berlari turun hanya dengan berbaju tidur.

“Sebaik keluar dari pangsapuri, saya lihat bangunan lama yang terletak di hadapan tempat tinggal saya, runtuh dan pangsapuri saya sudah mula ada retakan,” cerita Mahendran ketika dihubungi Astro AWANI.

Mahendran yang baru bertugas lima bulan di Kathmandu berkata, keadaan semakin teruk apabila gempa susulan berlaku.

Beliau kemudian dinasihatkan pihak pengurusan untuk tidak terus berada dalam bangunan ini kerana di sana kebanyakan bangunan lama runtuh kerana diperbuat dari tanah liat dan bukan konkrit.

“Bangunan baru sahaja yang tidak runtuh tetapi bangunan lama saya lihat banyak yang musnah.

Selepas kejadian Sabtu itu, saya berpindah ke kawasan lapang kepunyaan ketua tempat saya bekerja di Lalitpur. Di situ ramai yang turut menumpang duduk. Kami tidak berani duduk di dalam rumah dan hanya berkhemah di luar bangunan,” katanya.

Gempa bumi Nepal
Keadaan khemah yang dipasang ketika di Lalipur - Foto Mahendran

Jelas Mahendran yang tiba di tanah air pada Selasa menggunakan penerbangan Malindo, keadaan di lapangan terbang Kathmandu sangat sesak dengan orang ramai yang berebut mahu pulang ke negara masing-masing.

“Di lapangan terbang, ramai yang tidak berani berada di dalam bangunan terlalu lama. Ini kerana, gempa bumi kecil masih berlaku.

FOTO GALERI GEMPA BUMI NEPAL

“Keadaan yang sesak dengan pelancong dari India dan China ditambah dengan keadaan lapangan terbang tersebut yang sudah berusia lebih 50 tahun memang menyukarkan keadaan ketika itu.

“Begitu juga dengan landasan tunggal yang mereka ada. Pesawat Malindo yang saya tempah berada di udara selama sejam sebelum dapat kebenaran untuk mendarat,” imbas Mahendran.

Mahendran kemudian terpaksa menunggu pesawat selama empat jam sebelum berlepas ke tanah air sekitar jam 8 malam.

“Ada 15 orang rakyat Malaysia bersama-sama saya dalam pesawat. Kami sempat bertukar-tukar cerita masing-masing di dalam penerbangan,” kata bapa kepada dua anak ini.

Walau bagaimanapun, Mahendran memberitahu beliau akan ke sana semula selepas berehat seminggu bersama keluarga.


Gempa bumi Nepal
Buat masa ini syarikat Mahendran terpaksa beroperasi di luar bangunan - Foto Mahendran

“Buat masa ini syarikat saya terpaksa beroperasi di luar bangunan. Namun saya percaya selepas ini keadaan akan kembali pulih dan saya akan menyambung tugas semula di sana,” kata Mahendran.

Pada Selasa, seramai 104 rakyat Malaysia yang terkandas di Nepal akibat gempa bumi yang melanda negara itu selamat tiba menggunakan Pesawat Charlie 130 milik TUDM.

Setakat ini, gempa bumi itu telah mengorbankan lebih 5,000 mangsa manakala lebih 10,000 cedera.

Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala semalam mengumumkan tiga hari berkabung ekoran bencana yang menimpa negara itu.

Gempa bumi ini adalah yang terburuk selepas 80 tahun.