KUANTAN: Seorang warga emas kerugian RM184,000 selepas terpedaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.

Ketua Polis Pahang Dato' Sri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 75 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek pada 8 Sept lepas yang menyatakan nombor akaun milik pesara berkenaan telah disalahgunakan untuk aktiviti penggubahan wang haram.

Yahaya berkata suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuka satu akaun bank baharu dan menyuruhnya memindahkan semua wang ke dalam akaun itu, kononnya untuk semakan Bank Negara.

"Mangsa telah memindahkan sebanyak RM184,000 dan maklumat perbankan turut diberikan kepada suspek. Mangsa turut dijanjikan akan dihubungi setelah semakan selesai dibuat.

"Bagaimanapun, mangsa gagal hubungi pihak berkenaan dan tersedar telah ditipu dan melaporkannya kepada Balai Polis Kuantan. Sumber wang kerugian ini adalah wang simpanan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya individu tidak dikenali dan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA