Saad Morad, 65 tahun, tiba seawal jam 7.30 pagi dan menunggu kira-kira setengah jam sebelum ke kaunter semakan daftar pemilih.
Bagi warga emas ini, menjadi tanggungjawabnya untuk mengundi setiap kali pilihanraya.
Datuk kepada 10 cucu itu mengundi sejak tahun 1992.
Baginya, kalau dia sebagai warga emas yang kurang upaya mampu untuk turun mengundi, jadi tiada masalah orang muda melakukan tanggungjawab berkenaan.
“Saya sudah dua tahun pakai kerusi roda elektrik ini. Saya ingat pada tanggungjawab sebagai pengundi. Kadang-kadang itu orang muda kena tahu juga tanggungjawab mereka.
“Kalau saya yang dalam keadaan begini pun boleh datang mengundi pagi-pagi kenapa tidak orang muda?,” katanya lagi.
Saad tinggal di Bandar Sunway dan memandu kereta sendiri untuk ke pusat mengundi di SK Kampung Lindungan.
Dia kemudian menggunakan kerusi roda elektrik untuk ke dewan mengundi.
Warga emas ini adalah antara 50,692 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRK Seri Setia hari ini.
PRK Seri Setia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara capon Pakatan Harapan (PH), bekas Ahli Majlis MBPJ, Halimey Abu Bakar, manakala Pas menampilkan Dr Halimah Ali.