IPOH: Seorang lelaki warga emas maut akibat dilanggar sebuah lori yang sedang mengundur dalam kejadian di kawasan kilang di Jalan Lahat-Simpang Pulai dekat sini semalam.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki warga emas maut dilanggar sebuah lori yang sedang mengundur dalam kejadian di kawasan kilang di Jalan Lahat-Simpang Pulai, kira-kira jam 1.30 tengah hari, Rabu.
  • Siasatan mendapati pemandu lori berusia 44 tahun itu memiliki 100 rekod saman trafik, termasuk tiga kesalahan kemalangan jalan raya manakala lori dipandu mempunyai 10 saman terkumpul.
  • Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata siasatan mendapati pemandu lori berusia 44 tahun berkenaan memiliki 100 rekod saman trafik, termasuk tiga kesalahan kemalangan jalan raya manakala lori dipandu mempunyai 10 saman terkumpul.

Beliau berkata kemalangan melibatkan pejalan kaki berusia 66 tahun itu berlaku kira-kira 1.30 tengah hari dan berdasarkan siasatan awal, pemandu lori terbabit tidak mengetahui keberadaan mangsa yang sedang berdiri di belakang kenderaan itu.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada dan perut manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zainal Abidin berkata mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat manakala kemalangan itu disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau sehubungan itu meminta mana-mana saksi kemalangan itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Syafiq Fauze menerusi talian 013-6713 177 atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA