Maizon Embong berkata, ombak kuat yang membadai sejak awal bulan lalu menyebabkan rumah yang didiami lebih 60 tahun lalu, mengalami hakisan yang kritikal.
Warga emas yang berusia 67 tahun itu tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang memikirkan nasib rumah pusaka yang diduduki tiga lagi ahli keluarganya, sekiranya hakisan pantai terus berlaku.
Lebih merisaukannya apabila pergerakannya turut terbatas dan perlu menggunakan tongkat atau kerusi roda kerana penyakit saraf yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu.
“Saya lebih takut pada waktu malam apabila ombak menjadi sangat kuat sehingga naik ke tangga rumah.
“Keadaan kali ini paling teruk sekali. Pada 2018, ombak sampai ke pagar sahaja sehingga menyebabkan ia jatuh. Kali ini sudah sampai ke tangga pula,” jelasnya.
Katanya lagi jika dahulu jarak rumahnya dengan pantai adalah sejauh satu kilometer namun dalam tempoh tiga tahun bermula 2018, jaraknya kini hanya tinggal 10 meter selepas kawasan berkenaan dibadai ombak.
Jarak yang semakin hampir itu telah merosakkan kawasan kedai makan anaknya pada malam tahun baharu yang menempatkan 20 meja makan dan tandas di perkarangan rumah mereka.