ALOR GAJAH: Empat sekeluarga termasuk tiga remaja berusia 15 tahun nyaris lemas akibat dihanyutkan ombak besar ketika mandi-manda di Pantai Pengkalan Balak di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari, namun tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan Nur Alieya Najwa Rizam, Nur Dania Azizul Rahman dan Farish Haikal Roslan masing-masing berusia 15 tahun serta Muhammad Azhan Mat Hassan, 31.

"Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah menerima maklumat dua mangsa lelaki dan dua wanita merupakan saudara-mara hampir lemas dihanyut ombak.

"Seorang lagi mangsa Ahmad Nazri Amil, 26, sedang memancing di lokasi berkenaan cuba menyelamatkan mereka tetapi dia juga hampir lemas dihanyut ombak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan empat sekeluarga dari Selangor itu bercuti ke Melaka bersama 10 anggota keluarga lain dan menetap di sebuah inap desa di Pengkalan Balak.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah digegaskan ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamatkan mangsa.

-- BERNAMA