IPOH: Seorang wanita kerugian RM132,860 apabila terperdaya selepas mahu membeli kereta terpakai yang tidak wujud yang dijual di laman Facebook, 1 Jun lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa pada mulanya terlihat sebuah iklan menjual kereta terpakai di Facebook dan menghubungi pemilik akaun tersebut.

"Suspek kemudian menghubungi mangsa melalui WhatsApp dengan memperkenalkan diri sebagai penjual kereta dan menghantar gambar kad pengenalan untuk menyakinkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mohd Yusri berkata mangsa kemudian diminta membuat bayaran melalui perbankan dalam talian ke akaun bank yang diberikan suspek dan diperdaya tidak boleh membatalkan pembelian atas alasan insurans telah didaftarkan atas nama mangsa, jika terjadi apa-apa mangsa akan dipertanggungjawabkan.

Mohd Yusri berkata mangsa membuat bayaran keseluruhan 25 kali melibatkan enam akaun bank, melibatkan jumlah keseluruhan RM132,860.00, sebelum tersedar ditipu apabila diberitahu rakannya ketika mahu meminjam wang dari rakannya itu.

"Bapa mangsa kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA