KUALA TERENGGANU : Seorang lelaki warga emas didenda RM5,000 selepas didapati bersalah melakukan penipuan terhadap butiran borang bagi mendapatkan bantuan banjir.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Azhar Othman membuat keputusan itu terhadap Abdul Wahab Idris, 64, yang juga sebelum ini memegang jawatan di sebuah kampung di daerah Dungun.

Mengikut pertuduhan, Abdul Wahab didakwa melakukan penipuan terhadap pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan memperakui dan menandatangani borang pengesahan daftar nama.

Abdul Wahab dikatakan telah menamakan anaknya menerusi borang berkenaan bagi mendapatkan bantuan banjir meskipun tidak layak untuk mendapat bantuan.

Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh menerusi peguamnya bagaimanapun mengemukakan rayuan agar jumlah denda dikurangkan atas faktor kesihatan.

Mahkamah bagaimanapun berpendapat hukuman setimpal perlu dikenakan selain perlu menjadi iktibar kepada orang awam agar kes seumpama itu tidak lagi berulang.

Mahkamah turut mengarahkan Abdul Wahab dipenjarakan sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar manakala tertuduh diwakili Nurul Najmi Adila.