KAJANG: Polis menjalankan siasatan berkaitan tindakan sekumpulan individu di kawasan Pangsapuri Batu 9, Cheras yang didakwa menangkap beberapa ekor kucing sebelum memasukkan ke dalam guni dipercayai untuk dibuang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berkenaan didapati tular menerusi video yang dipercayai dirakam ketika kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 10.58 malam.

"Siasatan mendapati terdapat beberapa individu dipercayai memasukkan beberapa ekor kucing dalam guni.

"Guni berkenaan kemudiannya dimasukkan dalam sebuah kereta dipercayai untuk dibuang di sebuah lokasi lain," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan mendapati satu lagi laporan polis telah dibuat daripada wakil kumpulan individu terbabit menafikan menganiaya dan mendera haiwan terbabit.

"Semakan lanjut mendapati pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga telah mendapat maklumat dan aduan yang sama.

"Laporan ini sedang diambil tindakan di bawah peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.

Menurutnya, masyarakat dinasihatkan supaya tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedia ada.

"Perkara ini termasuk perbuatan penganiayaan terhadap haiwan atau mana-mana binatang peliharaan.

"Jika sabit dengan kesalahan boleh dihukum di bawah peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya. - Sinar Harian