SEPANG: Seorang penunggang motosikal cedera akibat kecuaian pemandu lori yang membelok ke kiri secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang di Kilometer 48.7 Lebuhraya Cyberjaya dekat Dengkil, di sini pada Sabtu.

Rakaman video papan pemuka kenderaan berdurasi 34 saat itu sempat dirakam salah sebuah kenderaan yang  melalui kawasan kejadian dan dimuat naik di aplikasi X.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan berkata, dalam kejadian berkenaan pemandu itu tidak melarikan diri namun segera beredar kerana bimbang akan keselamatannya.

Mengulas lanjut, katanya kejadian yang melibatkan tiga buah kenderaan itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi Sabtu.

"Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu di lorong kiri laluan utama menghala ke arah Cyberjaya-Puchong tiba-tiba membelok ke kiri masuk ke laluan susur keluar dari stesen petrol Caltex.

"Ketika kejadian mangsa sedang bergerak keluar dari susur tersebut. Lelaki itu cuba mengelak namun kerana jarak yang dekat telah terlanggar bucu belakang sisi sebelah kanan lori berkenaan lalu terbabas dan terjatuh di lorong paling kanan laluan utama Lebuhraya Cyberjay-Puchong.

"Sebuah kereta Perodua Axia yang sedang bergerak di lorong paling kanan ketika itu juga tidak sempat mengelak dan terlanggar motosikal itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Shan Gopal memberitahu, pemandu lori berusia 20 tahun telah direkodkan keterangan selepas dia datang menyerah diri, namun tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.

"Pemandu berkenaan datang membuat laporan selepas polis menghubungi majikannya," tambah beliau.

Beliau memberitahu, mangsa yang berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan ringan termasuk luka dan calar di tangan serta kepala.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.