KUALA LUMPUR: Penyebaran video berunsur lucah yang didakwa didalangi oleh individu dikenali sebagai 'Mr H', perlu dijadikan pengajaran kepada kerajaan dalam melantik mana-mana individu untuk mengetuai agensi.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun penularan video tersebut masih dalam siasatan pihak polis tetapi ia disifatkan sebagai mengaibkan.

"Kalau video itu benar, ia sangat aibkan.... Kalau video itu tidak benar, bahkan apa yang disebut dalam kenyataan sebelum ini, ia merupakan konspirasi daripada orang dalam jabatan, itu pun lebih teruk lagi.

"(Ini kerana) jabatan kerajaan telah pun dijadikan lubuk untuk menjatuhkan antara satu sama lain, lalu dibuat video-video yang mengaibkan. Ini satu detik yang sangat mengaibkan bagi kerajaan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahmad Fadhli berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Membahaskan lagi, beliau mempersoalkan peruntukan yang disalurkan kepada Komunikasi Strategik di bawah KKD yang menunjukkan peningkatan daripada RM4.24 juta pada 2023 kepada RM7.86 juta dalam Belanjawan 2024.

Selain itu, Ahmad Fadhli mempersoalkan peranan Komunikasi Strategik dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), selain menyarankan salah satu daripada jabatan tersebut dimansuhkan.

"Jika ia merupakan fungsi yang sama, saya mohon untuk mencadangkan supaya kita mansuhkan saja salah satu daripada dua item ini. Kalau diberikan pilihan, saya nak cadang mansuhkan sahaja J-KOM kerana ini lah masa yang sesuai dan terus masukkan di bawah kementerian.

"Ini juga sesuai dengan cadangan YB Menteri Lembah Pantai (Fahmi Fadzil) pada Disember 2020, yang pernah membawakan usul untuk memansuhkan J-KOM," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya J-KOM tidak boleh dimansuhkan, kerajaan perlu memastikan jabatan tersebut diketuai oleh individu yang benar-benar layak.

Sebelum ini, tular video yang didakwa melibatkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff dan individu dikenali sebagai Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Mohammad Agus pada sidang media kemudian mendakwa video itu disunting dan didalangi oleh individu yang digelar "Mr H' bagi menjatuhkan reputasinya.

Sementara, Abdul Wahab mendakwa telah diarahkan oleh 'Mr H' untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Pada Isnin, Mohammad Agus berkata identiti 'Mr H' telah didedah kepada pihak polis ketika memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang.