NABAWAN: Usaha pemberian vaksin kepada penduduk di pedalaman sememangnya mencabar, terutama di kawasan yang tidak boleh dilalui kenderaan beroda.

Kekangan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat petugas barisan hadapan, terutama pasukan perubatan antaranya terdiri daripada doktor dan jururawat.

Wakil Astro AWANI berpeluang menyertai unit vaksin bergerak yang masuk ke Kampung Salinatan di mukim Pensiangan, Nabawan, baru-baru ini.

 Vaksinasi COVID-19 di pedalaman: Bukan mudah, barisan hadapan terus tabah

Pasukan itu diketuai Pegawai Perubatan Kesihatan Daerah Nabawan, Dr Mohd Abirudin Abdul Salleh bersama 11 petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Pensiangan dan Pagalungan.

Usaha itu tidak mudah apabila pasukan berkenaan terpaksa menaiki dua bot meredah arus deras Sungai Pensiangan, selain terpaksa turun berjalan kaki di atas tebing berbatu di beberapa kawasan cetek.

Jika paras air sungai tinggi, perjalanan ke Kampung Salinatan hanya memakan masa 30 minit, namun boleh mencecah dua jam ketika paras air rendah disebabkan sungai menjadi cetek sekali gus mewujudkan banyak kawasan berbahaya dan berarus deras untuk dilalui bot.


Cerita Sebalik Berita: Cabaran membawa vaksin ke kawasan pedalaman

Wakil Astro AWANI menyaksikan sendiri betapa tingginya pengorbanan dan komitmen pasukan itu apabila terus sahaja mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) sebaik tiba di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan (SK) Salinatan tanpa mempedulikan keletihan diri.

Pengorbanan itu nyata berbaloi apabila kehadiran penduduk yang mendapatkan suntikan vaksin melebihi sasaran awal yang ditetapkan.

Dr Mohd Abirudin, berkata mereka perlu mengunjungi kira-kira  tujuh kampung sehari di dalam program selama empat hari bermula pada Sabtu itu.

 Vaksinasi COVID-19 di pedalaman: Bukan mudah, barisan hadapan terus tabah

"Ini adalah hari pertama (Sabtu) vaksinasi bergerak. Untuk mukim Pensiangan ini, kita ada dua pasukan, satu statik di klinik dan satu lagi adalah unit bergerak.

"Untuk Sabtu sahaja, kita berjaya sampai di tujuh buah kampung dan memberi vaksin kepada seramai 26 orang penduduk. Kita akan memvaksin lebih ramai lagi penduduk di kampung lain dalam program ini," katanya.

Tambahnya program vaksin bergerak tersebut akan dilaksanakan ke beberapa lagi perkampungan antaranya Mukim Pengaraan dan Mukim Pagalungan.