KUALA LUMPUR: Kempen vaksinasi di Malaysia berjalan agak perlahan, antara lain berpunca dari proses penilaian yang perlu dilalui sebelum mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 daripada pengeluar.

Demikian pendapat disuarakan Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) Dr Steven Chow.

Katanya, pihak berkaitan terlalu menumpukan untuk mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia dan ia memakan masa yang lama.

"Kita boleh meliputi kawasan bandar, luar bandar, separa bandar, separa luar bandar. Dan ia boleh dilakukan serta-merta. Yang diperlukan hanya, bekalan vaksin.

"Dan, bekalan vaksin juga turut menjadi perkara yang merunsingkan. Kerana, hanya syarikat tertentu yang dilantik untuk membekalkan vaksin tersebut.

"Kami tertanya-tanya, kenapa perlu begitu? Terdapat banyak vaksin yang akan dibawa masuk, yang kita boleh gunakan," katanya.

Chow berkata demikian dalam sesi perbincangan menerusi Facebook Industries Unite yang mengangkat isu 'Mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 dan Permintaan Moratorium Bank' pada Rabu.

Perbincangan turut disertai Tan Sri Teo CK dari Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia, Datuk R Ramanathan (wakil Kuala Lumpur & Selangor Indian Chambers of Commerce & Industries), Azharee Abdul Wahid (Akademi Usahawan Mikro), Datuk David Gurupatham, Penasihat Undang-undang Kumpulan, Industries Unite dan Datuk Irwin Cheong, Ketua Penyelaras Kumpulan, Industries Unite.

BACA: Vaksin COVID-19: Negara capai sasaran 150,000 suntikan harian 

BACA: Perlu ada cara lain daftar vaksin, selain MySejahtera - Masing

Chow berkata, kerajaan kini mempunyai kuasa besar iaitu pelaksanaan Ordinan Darurat yang boleh dimanfaatkan sebaiknya ketika pandemik COVID-19.

"Ordinan Darurat membolehkan kerajaan mengetepikan semua langkah yang tidak diperlukan di NPRA, contohnya, melakukan kajian di peringkat tempatan.

"Ini adalah kecemasan. Kita tidak perlukan kajian tempatan. Mana-mana kajian luar negara sudah cukup baik untuk kita guna pakai.

"Jadi, kami harap kerajaan dapat mempermudahkan lagi proses, supaya lebih ramai yang terlibat, bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini," jelasnya. 


 
Setakat Selasa (8 Jun), Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata, seramai 12,774,132 individu telah mendaftar untuk menerima vaksin di bawah program itu.

Mengikut perancangan, fasa kedua PICK yang bermula April hingga Ogos ini akan melibatkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2022 pula melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan telah menerima vaksin.