KUALA LUMPUR: Jumlah pemberian suntikan harian vaksin COVID-19 mencatatkan rekod baharu tertinggi dengan 340,043 dos pada Selasa (6 Julai).

Angka itu melepasi paras 300,000 selama dua hari berturut-turut seperti disasarkan untuk bulan Julai bagi Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula hujung Februari lalu.

Menurut data dikongsikan Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, Selangor menjadi negeri tertinggi suntikan harian vaksin dengan 57,473 dos pertama. 



Ia diikuti Kuala Lumpur dengan 39,031, Sarawak (27,980), Perak (14,571), Pulau Pinang (10,414), Negeri Sembilan (10,135), Kedah (8,633), Johor (8,264), Terengganu (6,759), Kelantan (6,549) dan Melaka (6,403).

Sementara itu, negeri lain masih mencatatkan suntikan harian vaksin dos pertama di bawah 5,000.

Bagi suntikan dos kedua harian, Sarawak mendominasi dengan 31,289, Selangor (22,525), Kuala Lumpur (14,124), Johor (10,167), Sabah (10,056), Perak (6,188), Pahang (5,942), Pulau Pinang (5,514), Negeri Sembilan (5,279).

Negeri lain masih mencatatkan suntikan harian vaksin dos kedua di bawah 5,000.