KUALA LUMPUR: Hampir setahun bergelut dengan pandemik COVID-19, hari ini negara menyaksikan ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang mungkin menjadi jawapan kepada pengakhiran situasi sukar ini.

Bagi warga maya, rata-rata berharap vaksin berkenaan akan membawa sinar baharu, sekali gus membuka jalan untuk kehidupan normal sebagaimana sebelum pandemik melanda.

Tidak kurang juga yang mendoakan proses yang dijadualkan berjalan lancar atau dapat disegerakan.

Menerusi laman sosial juga, dapat dilihat keterujaan orang ramai serta memuji kecekapan kerajaan dan semua pihak yang membantu melancarkan proses penghantaran pertama itu.









Di sebalik kegembiraan itu, masih terdapat segelintir netizen yang sangsi dengan vaksin tersebut.

Lebih mengecewakan, apabila ada yang cuba mempengaruhi keyakinan pihak lain dengan berkongsi kenyataan atau berita yang tidak dipastikan kesahihannya.

Untungnya, masih ramai yang mampu berfikiran waras dan segera memberi penjelasan sewajarnya.

Terdahulu, vaksin Pfizer-BioNTech yang diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium selamat mendarat di KLIA pada jam 10 pagi.

Penerbangan dengan Pesawat Malaysia Airlines MH604 yang dihiasi Jalur Gemilang itu membawa 312,390 dos vaksin.

Fasa pertama Progam Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan berjalan dari Februari hingga April, melibatkan petugas barisan hadapan.

Ia akan mula diedarkan untuk suntikan pada 24 Feb ini.
Semua berita vaksin COVID-19