KUALA LUMPUR: 'Senyum tanpa topeng, peluk tanpa jarak' - sesuatu yang mungkin sukar direalisasikan tatkala pandemik COVID-19 masih memuncak ketika ini.

Namun, impian itu mungkin menjadi nyata tatkala warga dunia kini mula menerima dos vaksin COVID-19 daripada pelbagai pengeluar.

Menurut wartawan Radio Antarabangsa China, Zhang Hong, walaupun telah melengkapkan dua dos pengambilan vaksin COVID-19, namun garis panduan pencegahan wabak masih diteruskan.

"Buat masa ini, walaupun kami telah mengambil vaksin, kami di China masih memakai topeng dan mematuhi penjarakan sosial kerana vaksin ini dikeluarkan dalam tempoh kecemasan.

"Bagaimana keberkesanannya, masih perlu tunggu dan lihat, namun berdasarkan pelbagai statistik yang dikeluarkan, ia berkesan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Zhang Hong bergambar bersama peti thermal simpanan vaksin Sinovac yang akan diterbangkan ke Malaysia. - Foto CRI


Jelasnya, dia tidak mengalami sebarang gejala atau alahan selepas melengkapkan dua dos tersebut.

"Sebelum Tahun Baharu Cina, sejumlah lebih 40 juta dos digunakan di China - ini termasuk saya.

"Kalau dos pertama saya digunakan sebelum Tahun Baharu Cina dan 21 hari selepas dos pertama, saya telah ambil dos kedua.

"Buat masa sekarang, tidak ada apa kesan sampingan dan semuanya baik sahaja," katanya.

Cogan kata 'senyum tanpa topeng, peluk tanpa jarak' dipaparkan di kotak simpanan vaksin keluaran Sinovac. - Foto CRI

Dia juga berharap supaya rakyat Malaysia yakin untuk mengambil vaksin COVID-19 sekali gus memutuskan rantaian pandemik itu.

Ujarnya, sekiranya imuniti kelompok berjaya dilaksanakan dalam skala yang besar, maka cogan kata 'senyum tanpa topeng, peluk tanpa jarak' dapat direalisasikan.