KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan wajar diuruskan oleh sebuah kementerian atau agensi tunggal untuk mengurangkan risiko salah faham dalam komunikasi.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun ketika ini, lebih penting untuk kerajaan memastikan mereka mempunyai strategi komunikasi yang berkesan untuk mendepani cabaran ini.

"Walaupun saya yakin ia berniat baik (pengurusan oleh MOSTI), ada kemungkinan berlaku konflik dalam komunikasi apabila ia berkenaan butiran yang lebih spesifik.

"Jika anda tanya saya, program ini wajar dikendalikan Bahagian Kesihatan Awam di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita harus mengiktiraf bahawa KKM ada pengetahuan teknikal serta kepakaran dalam perkara ini.

"Walaupun begitu, memandangkan ia sudah diatur sebegini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sebagai kementerian yang baharu dalam perkara ini boleh mainkan peranan dalam memastikan keberkesanan strategi komunikasi berkaitan program imunisasi. Saya dapat lihat menteri sendiri (Khairy Jamaluddin) berusaha sebaik mungkin untuk menjayakan program ini," kata Dr Dzulkefly dalam Program Consider This pada malam Isnin.


Consider This: Vaccination (Part 1) - Clarifying Government Priorities


Consider This: Vaccination (Part 2) - Federal-State Plans Coordinated?