ASTRO Awani pada Rabu melaporkan kira-kira 22 peratus daripada masyarakat Islam di Malaysia menolak sepenuhnya penerimaan vaksin COVID-19 dengan memetik kenyataan kata Pengarah Besar, Pusat Fatwa dan Halal Antarabangsa (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Irwan Mohd Subri.

Menurut Profesor Irwan Subri, data tersebut diperoleh melalui kaji selidik yang dilakukan ke atas 17,455 responden Islam di seluruh negara.

"Kita mendapati kira-kira 300 hingga 400 responden menolak penerimaan vaksin. Angka ini sebenarnya tidak kecil dan sekiranya kita biarkan tanpa sebarang penerangan daripada kerajaan atau agensi berkaitan, jumlah itu mungkin akan bertambah," katanya.

Penulis juga senada dengan kegusaran dan kebimbangan yang diutarakan oleh ahli akademik ini kerana walaupun kumpulan yang menolak vaksin COVID-19 ini boleh dianggal minoriti yang terpencil, tetapi mereka amat lantang dan vokal dalam mengeluarkan pandangan dan hujah mereka menolak sebarang vaksin 'hinggap' di tubuh mereka.

Media sosial menjadi platform kumpulan ini menyebarkan 'kepercayaan' mereka kepada masyarakat dengan tidak sahaja menggunakan fakta dan terma perubatan mahupun dalil-dalil agama, malah mengolah pula ia menjadi cerita baharu yang dikaitkan dengan teori konspirasi dunia untuk memusnahkan umat Islam. Lebih dikesalkan ada pandangan ekstrim mereka yang mencela dan memfitnah para pemimpin, agamawan dan petugas barisan hadapan.

LAPOR LANGSUNG: PM individu pertama divaksinasi, Program Imunisasi COVID-19 berjalan lancar


Justeru, tidak salah jika golongan ini dianggap menjadi ancaman kepada negara kerana boleh merencatkan usaha kerajaan mengekang penularan wabak berkenaan.

Malaysia pada Ahad secara rasmi menerima kumpulan pertama  312,390 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Kehadiran vaksin ini akan menjadi barisan hadapan terkini untuk menguatkan benteng negara melawan pandemik COVID-19 di bawah inisiatif Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham menjadi individu terawal menerima vaksin ini yang merupakan program vaksinasi terbesar dalam negara setakat ini.

Dari aspek keselamatan vaksin COVID-19 yang akan digunakan, pemilihannya dibuat oleh pakar-pakar tempatan selepas meneliti semua data dan bukti dari ujian klinikal dan melalui proses penilaian ketat dan semakan dari pelbagai aspek.

Ia telah melalui ujian klinikal melibatkan lebih 40,000 orang berumur antara 18 hingga 80 tahun dari pelbagai bangsa dan beberapa negara dan vaksin Pfizer didapati 95% berkesan mengurangkan gejala dan simptom COVID-19.

Bagi umat Islam pula, telah telah diputuskan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam berkenaan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil dan jawatankuasa fatwa negeri juga senada dengan ketetapan ini.

Pandangan dan penilaian dari aspek perubatan dan agama sudah 'solid' bagi penulis untuk kita tidak ragu-ragu untuk mengambil vaksin ini dan mengelakkan kita terpengaruh dan terkeliru dengan kumpulan yang menyebarkan false message atau perkongsian info yang kurang tepat berkaitan virus dan vaksin ini.

Bagi memastikan sasaran kerajaan untuk memastikan 26.5 juta orang atau 80 peratus populasi negara mengambil vaksin ini seterusnya berjaya membentuk herd immunity yang besar untuk mengawal jangkitan COVID-19 tercapai, pandangan penulis penerangan secara konsisten kepada masyarakat bagi memastikan mereka benar-benar faham tentang kepentingan dan kesan vaksin berkenaan adalah proses kritikal kini.

Kerajaan perlu memanfaatkan segala agensi yang berkaitan dengan turut melibatkan pakar-pakar kesihatan, ahli akademik yang berada institusi pengajian tinggi, agamawan dan tokoh masyarakat untuk memberi informasi yang tepat kepada rakyat.

'Lindungi Diri, Lindungi Semua!'


* Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.

** Pandangan dan kenyataan yang dikongsi di 
dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.