KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menggesa rakyat supaya mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Beliau pada masa sama menyeru agar semua masyarakat Malaysia untuk terus patuh SOP demi kebaikan bersama.

Dalam pada itu Anwar menggesa kerajaan untuk memberi respon kepada kenyataan yang mendakwa  bekalan vaksin di Malaysia rendah.

Selain itu Ketua Umum PKR itu mahu kerajaan mendedahkan kebenaran mengenai sasaran yang didakwa  mampu mencapai 80% kadar vaksinasi sebelum penghujung tahun ini sedangkan kadar vaksinasi di Malaysia tidak meningkat sejak ia diumumkan pada Februari lalu.

Dalam satu kenyataan Anwar juga meminta pengesahan terkait keupayaan logistik di seluruh Malaysia bagi mencapai 210,000 dos sehari termasuk penyelarasan dengan hospital, fasiliti kesihatan, klinik-klinik awam dan farmasi.

Anwar turut mempersoalkan penutupan sempadan dan tahap kuarantin yang ketat tetapi Malaysia masih terkesan dengan mutasi wabak yang berbahaya.

Katanya sekiranya penutupan sempadan tidak diuruskan dengan baik, negara sedang mengorbankan ekonomi tanpa manfaat yang munasabah.

Beliau turut bertanyakan kemaskini terbaharu terkait dalam hal memastikan sektor swasta bertanggungjawab atas penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.

Antara lain, beliau turut mempersoalkan pendaftaran vaksinasi yang rendah, dan tindakan kerajaan bagi meyakinkan rakyat untuk mendapatkan suntikan vaksin.