Usaha yang tidak putus-putus dalam memperbaiki alunan bacaan suci al-Quran akhirnya membuahkan hasil kepada Ustaz Azraie Abdul Hak yang dinobatkan sebagai juara dalam kategori Tilawah pada Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-9 di Kuwait.

Azraie berkata pada pertandingan itu, beliau berjaya menewaskan para peserta dari 75 negara lain dengan meraih markah 96 peratus yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai KUD 5,000 (RM64,857) dan sijil penghargaan.

"Pengalaman dalam menyertai pertandingan Tilawah di Moscow, Turki dan Iran sebelum ini memberi banyak pengalaman kepada saya untuk memperbaiki bacaan dan persembahan saya pada pertandingan kali ini," katanya.

"Ini merupakan kejayaan kali pertama buat saya sebagai juara di peringkat antarabangsa," katanya kepada media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Bagi Azraie, pertandingan di Kuwait agak mencabar bagi dirinya kerana sistem penghakiman yang begitu teliti selain perlu bersaing dengan beberapa peserta yang berpengalaman dan pernah menjuarai pertandingan tilawah yang lain sebelum ini.

"Kesilapan seperti tanda bacaan juga akan menyebabkan peserta terus dikira sebagai gagal, dan hanya layak untuk diberi hadiah saguhati," katanya.

Pada pertandingan tersebut peserta dari Iran mendapat tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh peserta dari Maghribi.

Azraie yang berasal dari Melaka merupakan Naib Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018/1439H yang berlangsung awal bulan ini.

Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-9 telah diadakan pada 10 hingga 18 April.

-- BERNAMA