KUALA LUMPUR: Menginjak usia emas tidak menghalang pramugara ini meneruskan karier yang menuntut kekuatan mental serta fizikal dan terus 'terbang' megah di awan biru.


Ringkasan AI
  • Nordin Razali, seorang pramugara berusia 60 tahun dari Kuching, Sarawak, telah berkhidmat selama 35 tahun dalam industri penerbangan. Beliau memulakan kerjaya dengan Malaysia Airlines pada 1989 dan berpindah ke AirAsia pada 2006. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran seperti gelora udara teruk, beliau tetap setia dengan pekerjaannya.
  • Nordin menekankan kepentingan kesabaran, kemahiran komunikasi, dan persediaan mental serta emosi untuk melayan pelbagai ragam penumpang. Beliau juga menegaskan bahawa pekerjaan sebagai pramugara memerlukan stamina dan kekuatan fizikal, serta disiplin dan penjagaan kesihatan yang baik.
  • Nordin bersyukur dapat bekerja di sektor domestik dengan AirAsia, membolehkan beliau meluangkan lebih masa bersama keluarga. Beliau juga merancang untuk menubuhkan syarikat hospitaliti sendiri, memanfaatkan pengalaman dan ilmu yang telah dikumpul sepanjang kariernya.


Melihat penampilan Nordin Razali yang masih segak serta bertenaga melayan dan memastikan keselamatan penumpang, tentu ramai tidak menyangka bahawa anak jati Kuching, Sarawak itu kini berusia 60 tahun.

"Saya tidak pernah berhasrat dan bermimpi pun nak menjadi pramugara. Semuanya berlaku secara semula jadi selepas menamatkan pengajian di universiti pada tahun 1989. Inilah pekerjaan terbaik yang saya dapat ketika itu, tapi akhirnya jadi kerjaya sebati dalam diri sehingga ke hari ini.

"Tempoh 35 tahun berkhidmat sebagai pramugara bukannya satu masa yang singkat dan saya sudah terlalu selesa dalam bidang ini. Ada sedikit rasa takut untuk mencuba pekerjaan lain. Daripada segi pendapatan pula cukup selesa untuk menampung hidup dan membesarkan anak-anak," katanya kepada Bernama.

Memulakan kerjaya dengan Malaysia Airlines pada tahun 1989 sebelum 'berhijrah' ke AirAsia pada tahun 2006, pelbagai pancaroba dilaluinya sebagai anak kapal termasuklah pesawat dilanda gelora udara teruk ketika penerbangan, namun Nordin menganggapnya sebagai asam garam pekerjaannya.

Nordin berkata, beliau bertuah kerana masih berkhidmat dalam industri penerbangan tanpa mengorbankan masa bersama keluarga kerana mendapat tawaran dari AirAsia untuk sektor domestik berpusat di negeri kelahirannya sendiri, selepas 17 tahun merantau jauh demi mencari rezeki.

Berkongsi 'rahsia' serta petua mampu bertahan dengan pekerjaannya, bapa kepada empat orang cahaya mata itu berkata, kesabaran, kemahiran komunikasi dan persediaan mental serta emosi yang mantap amat penting dalam melayan pelbagai ragam penumpang.

"Masih ramai yang minat dengan pekerjaan ini kerana menyangka ia pekerjaan glamor. Hanya perlu senyum dan menyapa penumpang 'Hi, Good Morning' (Hai, Selamat Pagi) dan pergi melancong, tapi apabila sudah bekerja di lapangan sebenar baru tahu ia tidak seperti yang disangka.

"Sebab itu ada yang tak kerja lama dan berhenti. Anak kapal memerlukan stamina dan kekuatan fizikal, serta kekuatan mental ketika menguruskan situasi kecemasan atau penumpang yang sukar selain tanggungjawab memastikan keselamatan penumpang," katanya.

Disiplin dan penjagaan kesihatan yang baik seperti faktor pemakanan dan senaman turut menjadi kunci dalam memberi perkhidmatan terbaik dan kekal relevan, katanya.

Lulusan Diploma Pengajian Perniagaan itu yang juga memiliki sebuah kafe turut merancang menubuhkan syarikat hospitaliti sendiri pada masa depan dalam memanfaatkan pengalaman dan ilmu dimilikinya.

-- BERNAMA