Pemeriksaan yang ketat pihak berkuasa di pintu sempadan Malaysia-Thailand di sini memaksa sindiket penyeludupan minyak yang sebelum ini memunggahkan bahan bakar itu dekat pintu sempadan ke kawasan yang lebih jauh termasuk di pekan kecil seperti Changlun.

Pemindahan operasi memindahkan bahan bakar itu dari lori tangki ke kenderaan kecil itu didedahkan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah.

Menurut Komander UPP Negeri Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman, sindiket terbabit yang sebelum ini beroperasi sekitar dua kilometer berpindah ke kawasan dalam lingkungan lapan kilometer dari pintu sempadan negara.

Katanya, lori tangki itu dipercayai memperoleh minyak dari Pulau Pinang sebelum membawanya ke kawasan ini untuk diagihkan kepada anggota sindiket yang kemudian menyeludupnya ke negara jiran.

Turut hadir Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Asisten Superitendan Shahidan Ladin dan Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Kubang Pasu, Ahmad Fauzi Man.

Menurut Abdul Latif, modus operandi itu dikesan berikutan penahanan sebuah lori tangki oleh UPP dan KPDNKK di kilometer tujuh Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran sebuah jejantas di Changlun Jumaat lalu.

Tambah beliau hasil pemeriksaan lori itu dipercayai dari Pulau Pinang dan dipercayai mahu memindahkan minyak itu ke kenderaan kecil sebelum diseludup ke negara jiran.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dan Seksyen 20 (1) akta sama kerana memindahkan barang kawalan di tempat yang tidak dibenarkan oleh pegawai bekalan dan jika disabitkan kesalahan pertama boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun.