PUTRAJAYA: Malaysia terus komited mengekalkan 50 peratus litupan kawasan berhutan berbanding dengan keluasan tanah selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pendirian itu dinyatakan dalam persidangan meja bulat sempena sesi peringkat tertinggi (HLS) dalam forum UNFF ke-19 (UNFF19) di New York, Amerika Syarikat pada 6 hingga 10 Mei lepas.

"Sehingga kini Malaysia mempunyai 54.58 peratus atau 18.05 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya dalam persidangan itu beliau turut menjelaskan betapa pentingnya bantuan kewangan antarabangsa melibatkan institusi kewangan global seperti Global Environment Facility (GEF) kepada negara-negara ahli UNFF, melalui pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti, khususnya bagi negara-negara membangun, untuk membantu melaksanakan inisiatif pengurusan hutan secara berkekalan (PHSB).

"Saya turut mencadangkan agar UNFF diperkasakan, beralih daripada instrumen bersifat sukarela dan tidak mengikat (non-legally binding) kepada kerangka lebih formal berbentuk konvensyen yang mampu mengukuhkan komitmen sesebuah negara dalam pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber hutan secara berkekalan," katanya.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Nik Nazmi ke persidangan itu terdiri daripada pegawai-pegawai kanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dan pelbagai jabatan serta agensi berkaitan, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Berdasarkan komitmen yang dibuat melalui Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala, katanya Malaysia akan sentiasa memainkan peranan penting bagi memastikan sumber alam semula jadi dipelihara dan dikekalkan untuk generasi akan datang.

Beliau berkata pada akhir sesi UNFF19, dokumen-dokumen HLS Declaration dan Omnibus Resolution telah diterima pakai.

Sementara itu ketika menyampaikan ucaptama dalam sesi acara sampingan anjuran Malaysia sempena UNFF19 yang melibatkan penyertaan lebih 70 delegasi dari pelbagai negara, Nik Nazmi berkata beliau telah menyatakan tekad Malaysia untuk memastikan sektor perhutanan memainkan peranan signifikan di dalam menyumbang projek-projek karbon yang boleh didagangkan serta menjana pendapatan baharu kepada negara.

Menurut kenyataan itu sepanjang program UNFF, beliau turut mengadakan mesyuarat bilateral dengan Timbalan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia Alue Dohong untuk bertukar-tukar pandangan dalam mengenal pasti langkah terbaik bagi meningkatkan PHSB dan kolaborasi rentas sempadan.

Selain itu beliau juga mengadakan lawatan kerja ke American Museum of Natural History bagi melihat sendiri keupayaan sumber saintifik dan pengetahuan yang boleh digunakan dalam membangunkan Natural History Museum (NHM) yang kini dalam cadangan di bawah Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030.

-- BERNAMA