KUALA LUMPUR:Sesi pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang dijadualkan esok mungkin akan ditangguh ke hari Isnin depan.

Sumber yang berpengetahuan mengenai perangkaan Belanjawan 2021 memberitahu penundaan berkenaan kepada Astro AWANI.

“Ya, ia ditangguhkan ke Isnin (30 November),” katanya ringkas ketika diminta pengesahan.

Menurut seorang sumber lagi yang dihubungi oleh Astro AWANI, penangguhan itu dikatakan hanya satu kemungkinan.

“Kemungkinan besar undian tidak dapat dijalankan esok (Khamis) kerana kerajaan kurang sokongan yang diperlukan,” kata sumber itu.

“Bagaimanapun, saya tidak mendengar sebarang pengesahan mengenai penangguhan ini, tapi saya tahu penggulungan beberapa menteri yang sepatutnya berlangsung esok telah ditangguhkan,” tambahnya.

Sumber berkenaan turut memaklumkan ada sebilangan ahli Parlimen, termasuk daripada pihak kerajaan, akan mengambil keputusan untuk tidak menghadiri sesi undian RUU tersebut.

Sementara itu, seorang lagi sumber dalam kerajaan tidak begitu yakin sesi tersebut akan ditangguhkan.

“Kemungkinan (penangguhan) itu ada. Tetapi saya tak percaya kerajaan akan mengambil risiko untuk menangguhkan lagi.

“Dalam tiga hari (sehingga Isnin), hati (ahli Parlimen) boleh berubah,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah secara terbuka memaklumkan beliau tidak akan menyertai perbahasan kerana keabsahan kerajaan belum lagi ditentukan secara rasmi.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar enggan mengulas ketika ditanya sama ada kesemua 38 ahli parlimen UMNO akan mengundi untuk menyokong Belanjawan 2021.

“Kerajaan Perikatan Nasional adalah gabungan ahli-ahli parlimen yang tidak mewakili parti.

“Jadi hari ini bila kata satu-satu parti menguasai kerajaan, ia tidak tepat.

“Maka bila parti tidak menguasai kerajaan, maka ahli-ahli parlimennya mempunyai pandangan-pandangan sendiri," katanya.

Noh berkata beliau mungkin akan mengundi untuk menyokong.

“Saya sendiri, insya-Allah akan sokong. Kalau kita dengar nanti jawapan yang diberikan Menteri Kewangan (kepada perbahasan ahli Parlimen) itu meyakinkan kita, dan boleh memberikan kebaikan kepada rakyat, kenapa tidak kita sokong?

“Tapi kalau kita dengar jawapan-jawapan menteri tidak seperti apa yang rakyat nak, kalau kita sokong nanti, rakyat marah kita pula. Jadi, tunggu dan lihat,” katanya.

Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan berhubung perkara ini.