KUALA LUMPUR :Menteri Wilayah Persekutuan melontarkan beberapa persoalan menerusi laman Facebook beliau, yang memberi gambaran mengenai keperluan peruntukan untuk menangguhkan pilihan raya.

Tan Sri Annuar Musa dalam persoalannya itu bertanyakan mengenai peruntukan undang-undang sedia ada yang wujud bagi membolehkan pilihan raya ditangguh demi memastikan COVID-19 dapat dikawal.

Pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh itu dibuat susulan wujud desakan dalam kalangan rakyat, terutamanya pengundi di Parlimen Batu Sapi, agar pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan dapat ditangguhkan.

Persoalan itu juga dibuat susulan kebimbangan orang ramai terhadap risiko peningkatan jangkitan COVID-19 apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan kelak.

"Pelbagai pihak mengugut mahu menjatuhkan Perdana Menteri (PM) melalui sidang Parlimen bulan depan.

"Jika itu berlaku, maka PM boleh bubarkan parlimen dan pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan. Tetapi, rakyat tidak mahu pilihan raya diadakan kerana takut merebaknya COVID-19," tulis Annuar.


Beliau juga melemparkan persoalan mengenai jangkaan senario jangkitan COVID-19 jika episod perebutan kuasa politik berlarutan.

"Bagaimana agaknya kalau dalam tempoh dua tiga bulan ini kita mendahulukan perebutan kuasa politik demi demokrasi pada saat rakyat sedang bertarung nyawa dengan ancaman COVID-19," soalnya lagi.


 
Sumber Facebook tansri.annuarmusa
 

BACA: Darurat: Rakyat tidak perlu dibebankan dengan masalah kerajaan - Prof Hamidin

BACA: UMNO umum gencatan politik, sokong penuh Perikatan Nasional - Zahid Hamidi

PRK Parlimen Batu Sapi dijadualkan pada 5 Disember susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Pada masa sama, PRN Sarawak perlu diadakan apabila tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada tamat pada Jun tahun hadapan.