Penyelidik dan pakar ekonomi meramalkan bahawa perkembangan ekonomi dunia tidak akan sama seperti sebelum COVID-19.
Impak yang dibawa pandemik COVID-19 menyaksikan banyak perniagaan terpaksa berhadapan cabaran getir, malahan ada yang menanggung kerugian besar sehingga terpaksa gulung tikar.
Kenaikan inflasi dan harga makanan yang mendadak sedikit sebanyak memberi impak kepada semua rakyat Malaysia, termasuk golongan mahasiswa.
Justeru, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama semua universiti awam bertindak mengambil inisiatif yang sesuai bagi membantu menjaga kebajikan para mahasiswa yang turut terkesan dengan situasi ini.
Baru-baru ini, Datuk Seri Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi bersama delegasi Kementerian Pengajian Tinggi telah mengadakan lawatan mengejut bagi melihat sejauh mana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melaksanakan Menu Keluarga Malaysia.
Kesemua delegasi meluangkan masa untuk makan tengah hari bersama mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia di Kafetaria Kolej Dato' Onn UKM.
Menerusi lawatan ini, Datuk Seri Noraini Ahmad telah menzahirkan keperihatinan beliau terhadap isu kenaikan kos sara hidup yang terpaksa dihadapi oleh mahasiswa di seluruh negara.
Justeru, program Menu Keluarga Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan bagi menangani masalah kenaikan harga makanan di negara ini disambut baik oleh pihak KPT dan semua institusi pengajian tinggi.
Prakarsa ini selari dengan lima inisiatif strategik Kementerian Pengajian Tinggi di dalam usaha mengurangkan beban mahasiswa ekoran kenaikan kos sara hidup baru-baru ini.
Dalam lawatan ini juga, Datuk Seri Noraini Ahmad turut mendengar cadangan daripada para mahasiswa UKM berkenaan Menu Siswa Keluarga Malaysia yang bakal dijual dengan harga yang sangat berpatutan.
UKM turut mengadakan perbincangan bersama pengusaha kafeteria bagi mencari kaedah terbaik penyediaan Menu Siswa Keluarga Malaysia kepada para pelajar.
Antara cadangan yang telah dipersetujui adalah pengecualian bayaran sewaan enam bulan kepada pengusaha kafeteria dan penyedia perkhidmatan makanan di kampus.
Selain itu, pihak pengurusan UKM turut menyahut seruan kerajaan menerusi KPT dengan menetapkan harga RM3.50 untuk menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, masakan ayam atau ikan, sayur dan kuah atau sup, manakala makan malam pula adalah nasi goreng dan telur mata.
Menu ini bukan sahaja lengkap dari segi nutrisi, tetapi juga mempunyai kalori yang tidak melebihi 650 Kcal untuk setiap hidangan.
Selain kepelbagaian menu yang berubah setiap hari, hidangan yang disediakan juga akan dibekalkan bersama dengan jumlah nutrisi serta kalori yang terperinci.
Apa yang penting, jumlah nutrisi dan kalori setiap hidangan ini adalah cukup untuk membekalkan tenaga kepada para mahasiswa untuk mengikuti sesi perkuliahan mereka sepanjang hari.
Menu Keluarga Malaysia UKM di bawah inisiatif Food Basket Siswa KPT ini boleh dinikmati oleh semua pelajar UKM di semua kafeteria di dalam kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur.
Bantuan ini, meskipun agak kecil nilainya, memberi makna yang besar kepada ramai mahasiswa.
Inisiatif KPT ini dilihat sebagai suatu usaha yang bertepatan dengan situasi semasa yang bakal memberi cabaran kepada segolongan mahasiswa untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Hub “Food Bank” KPT Prihatin
Selain itu, dalam perbincangan yang berlainan yang turut dihadiri oleh semua wakil Naib Canselor Universiti Awam, para pengerusi dan wakil persatuan IPTS serta kepimpinan pelajar, UKM turut menyatakan kesediaannya untuk menjadi hub ‘food bank’ kepada pihak KPT bagi menyalurkan bantuan makanan kepada para mahasiswa di seluruh negara khasnya di kawasan Zon Tengah.
Hasrat KPT untuk mewujudkan ‘food bank’di setiap zon juga merupakan suatu saranan yang amat bertepatan bagi memastikan sumbangan kepada mahasiswa yang memerlukan dapat diagihkan dengan cepat seandainya berlaku sesuatu bencana.
Usaha ini juga adalah sejajar dengan konsep food@campus yang juga merupakan salah satu inisiatif KPT untuk meringakan beban perbelanjaan harian pelajar yang berada di IPT.
UKM sendiri telah berjaya melaksanakan beberapa fasa program food@campus ini.
Contohnya, seramai 5,600 pelajar telah menerima manfaat Bantuan Makanan Kering & Keperluan Asas sebanyak RM203,216 semasa PKP Fasa 1 & Fasa 2.
Selain itu, 22,427 bantuan pek makanan dengan kos sebanyak RM323,690 juga telah diagihkan kepada para masiswa melalui program ini.
Bantuan 2,875 pek makanan semasa proses isolasi pelajar dengan jumlah RM138,156 turut disalurkan di samping penyediaan pek makanan OPS PULANG IPT kepada 950 pelajar UKM dengan kos sebanyak RM14,848.
Inisiatif yang berterusan ini menunjukkan iltizam UKM untuk terus menjaga kebajikan mahasiswa dalam apa jua situasi yang dihadapi.
UKM sentiasa bersedia untuk memaksimumkan peranan dalam membantu masyarakat yang sedang berhadapan dengan krisis harga makanan dan peningkatan kos sara hidup yang agak mendadak.
Dengan fasiliti yang ada, UKM yakin mampu menjadi pusat pengumpulan serta pengagihan makanan yang efektif dan sistematik, kepada pelajar IPT di seluruh negara, khususnya di Zon Tengah.
Dengan keprihatinan KPT dan usaha semua pihak yang saling melengkapi, cabaran yang mendatang semestinya boleh diharungi bersama, demi kesejahteraan dan kejayaan para mahasiswa.
* Prof Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.