SIBU: Seorang pemandu lori berusia 32 tahun didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Sibu selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap penyanyi Nor Ashimah Ramli, yang juga dikenali sebagai Baby Shima.

Mel Maxpherson Munded dari Kampung Bratan, Jalan Borneo Heights, Kuching didakwa melakukan kesalahan itu dengan mengugut untuk membunuhnya, dengan niat mencemaskan penyanyi itu, di lobi Hotel Kingwood di sini kira-kira pukul 11 malam pada 30 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman Majistret Oon Kork Chern bertanya sama ada pemandu lori itu sedar bahawa dia telah melakukan ugutan jenayah, dan dia memberitahu tidak sedar mengenainya kerana berada di bawah pengaruh alkohol ketika itu.

Dalam mitigasinya Mel Maxpherson memohon hukuman ringan kerana dia telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, selain perlu menjaga ibunya, di samping ini merupakan kesalahannya yang pertama.

Pegawai Pendakwa ASP Siti Mariyah Dahari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada pemandu lori itu dan orang ramai.

Berdasarkan fakta kes pada masa kejadian Baby Shima dimaklumkan oleh pengurusnya bahawa terdapat komen berbentuk ugutan daripada seorang pengguna Facebook.

Pengguna Facebook dengan akaun bernama Mel Maxpherson Munded membuat komen "Lagi U Masuk Sarawak!! Hati-Hati Your Enemy M U Sudah. Jangan pulang Melaya Dengan Mayat Saja!! Take care Baby Shima."

Baby Shima kemudian membuat laporan di Balai Polis Sibu tengah malam Isnin, dengan diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Susulan laporan itu polis menahan suspek di Kota Sentosa pada malam berikutnya.

Baby Shima adalah antara artis jemputan yang membuat persembahan pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya.

-- BERNAMA