KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan membuat Ucapan Khas - 'Bersama Memulihkan Negara petang' ini yang akan disiarkan secara langsung di televisyen.

Ucapan Khas itu akan disiarkan secara langsung di Saluran 501, aplikasi Live TV dan semua platform media sosial Astro AWANI pada jam 6 petang ini. 

Ucapan Khas itu menimbulkan banyak spekulasi ketika situasi politik negara kini panas dengan usaha menjatuhkan kerajaan yang diterajui Muhyiddin.

Ia susulan keputusan 14 ahli Parlimen UMNO yang telah menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin, baru-baru ini.

Muhyiddin sudah mengumumkan akan membuat usul undi percaya ketika sidang Dewan Rakyat pada 6 September nanti namun terdapat pihak yang mahu ia disegerakan.

Pada Rabu, media melaporkan Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan ketua parti yang bernaung di bawah PN di pejabatnya.

Sehari selepas itu, Muhyiddin mengunjungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipercayai ada kaitan dengan situasi kerajaan ketika ini.