KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri pada dasarnya telah meluluskan Sijil Kemahiran Malaysia tahap 6, 7 dan 8 untuk diiktiraf setaraf dengan ijazah pertama.


Ringkasan AI
  • Jemaah Menteri telah meluluskan Sijil Kemahiran Malaysia tahap 6, 7, dan 8 setaraf dengan ijazah pertama. Timbalan Perdana Menteri menyeru pelajar tahfiz menyertai kursus TVET untuk meningkatkan potensi diri dalam masyarakat. Sasaran 10,000 pelajar tahfiz mengikuti kursus TVET menjelang 2027 untuk memperluas peluang kerjaya dalam sektor teknikal dan vokasional.


Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru pelajar tahfiz merebut peluang untuk mengikuti latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan potensi diri dalam masyarakat.

Buat masa ini, seramai 622 pelajar Maahad Tahfiz sedang mengikuti kursus TVET dan beliau menyasarkan 10,000 pelajar tahfiz mengikuti kursus berkenaan menjelang 2027.

“Kita akan usahakan untuk huffaz, tanpa SPM pun kerajaan akan usahakan masuk ke universiti dengan adanya SKM tahap 1 hingga 7.

“Dalam mesyuarat jemaah menteri dua minggu lalu, Jemaah Menteri telah meluluskan pada dasarnya, SKM tahap 6,7, dan 8, akan diiktiraf sama dengan ijazah pertama,” katanya ketika berucap dalam Majlis Himpunan 24K Huffaz di ibu negara, pada Sabtu.

Acara yang masuk tahun kelima itu berjaya mengumpulkan seramai 24,000 huffaz dengan pelbagai pengisian program baharu.

Antara program yang diperkenal tahun ini termasuklah Program Eksplorasi TVET-Tahfiz yang dianjurkan di bawah naungan Majlis TVET Negara (MTVET) bertujuan menyebar luas inisiatif dan potensi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada komuniti tahfiz di Malaysia.

Program itu disasarkan memperkenalkan bidang TVET sebagai pilihan kerjaya yang relevan dan berdaya maju kepada huffaz selain memupuk minat golongan ini melibatkan diri dalam sektor teknikal dan vokasional yang semakin berkembang.