Dr Mohamad Sabri Sinal, tutor dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) Universiti Utara Malaysia (UUM), menerima dua anugerah utama pada Majlis Graduasi Shibaura Institute of Technology (SIT), Jepun, baru-baru ini.

Beliau yang baru menamatkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) itu menerima President’s Award dan Functional Control System Award.

Melahirkan kesyukuran, beliau berkata, usahanya menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun dengan menyiapkan tiga jurnal dan tiga kertas persidangan itu akhirnya membuahkan hasil membanggakan.

Menurutnya, President’s Award merupakan anugerah pelajar terbaik keseluruhan iaitu satu pengiktirafan tertinggi universiti kepadanya, susulan sesi saringan ketat yang dijalankan pihak universiti untuk memilih calon-calon akhir.

“Saya amat berbesar hati menerima dua anugerah utama ini sebagai simbolik kepada kejayaan anak muda Malaysia yang mampu berdaya saing di luar negara, seterusnya menaikkan nama Malaysia ke peringkat tertinggi.

“Tiada yang mudah dalam hidup dan saya bermula dari bawah untuk mencapai ke tahap ini. Semoga ia menjadi aspirasi baru kepada yang lain untuk meroboh kebiasaan masyarakat kita dengan melihat sesuatu dan terus berkerja kuat,” katanya.

President’s Award diberikan di atas kapasiti kecemerlangan pelajar dalam pencapaian akademik secara keseluruhan, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan setempat serta sumbangan besar kepada SIT dari aspek globalisasi dan pembangunan modal insan.

Manakala, anugerah Functional Control System pula diberikan oleh pihak universiti dan Department of Functional Control System kepada pelajar PhD terbaik keseluruhan mengikut merit pencapaian akademik, penerbitan penyelidikan dan tesis terbaik.

Mengimbau kembali perjalanan dalam menamatkan PhD itu, Mohamad Sabri berkata, ia bermula selepas beliau tamat pengajian di peringkat Sarjana di universiti sama dengan cemerlangnya.

Menurutnya, beliau bertuah kerana pihak universiti telah berbesar hati memberi penajaan penuh bagi melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam tempoh tiga tahun, tanpa sebarang ikatan, melalui Biasiswa Khas Universiti.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, beliau diberikan peluang mengajar, membantu menyelia dan menjalankan penyelidikan secara berterusan dengan sokongan Profesor Jepun dan pentadbiran universiti.

“Di samping menjalankan tugas-tugas utama sebagai pelajar PhD, saya juga memulakan banyak inisiatif sendiri membantu menjayakan jalinan kerjasama di antara universiti awam di Malaysia seperti UUM, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis melalui program kerjasama antara universiti Malaysia dan SIT," tambahnya.

Mohamad Sabri berkata, walaupun jadualnya begitu padat dengan pengajian PhD, beliau berjaya mengimbanginya untuk memastikan segala yang dirancang berjalan dengan baik.

"Saya percaya, sebagai seorang pelajar PhD Malaysia yang dihantar ke luar negara, adalah tepat sekiranya saya mengambil tanggungjawab secara tidak langsung untuk menjadi duta kepada Malaysia di pelbagai peringkat.

"Iaitu dengan memulakan usaha dan mencari peluang baru mempromosikan kekuatan Malaysia dan mencipta peluang-peluang baru untuk rakyat Malaysia lain,” katanya.