Ibu kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Tun Suhailah Tan Sri Mohd Noah kembali ke rahmatullah awal pagi Sabtu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 12:30 pagi tadi di hospital pakar KPJ Damansara pada usia 82 tahun.

Jenazah Allahyarham dibawa dan diuruskan di kediaman nombor 19 Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku Kuala Lumpur. Orang ramai boleh menziarahi jenazah allahyarham di alamat berkenaan bermula jam 9 pagi ini.

Jenazah kemudian akan dibawa ke masjid negara pada jam 12 tengahari untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di makam pahlawan, masjid negara selepas zohor.

Allahyarham merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

Allahyarham juga merupakan anak perempuan kepada Tan Sri Mohamad Noah Omar, bekas Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat Malaysia.

Dilahirkan pada 24 Oktober 1931, Allahyarham meninggalkan tiga anak perempuan dan dua anak lelaki, termasuk Hishammuddin.

Allahyarham sebelum ini pernah menerima anugerah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran 'Tun' - Kerajaan Persekutuan (1990) dan Anugerah Sri Kandi dari Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM).

Tun Hussein meninggal dunia pada 29 Mei 1990.

Allahyarham adalah kakak kepada Tun Rahah, iaitu ibu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.