Berita duka pemergian Abdul Taib ke rahmatullah disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof kepada Astro AWANI sebentar tadi.
"Sekarang jenazah akan dimandikan dan Insya-Allah akan dibawa ke Masjid Negara untuk penghornatan terakhir (peringkat Semenanjung) sebelum jenazah dibawa ke lapangan terbang untuk diterbangkan ke Kuching, Sarawak," kata Fadilah.
Allahyarham Abdul Taib yang genap 87 tahun pada 21 Mei lalu akan dibawa pulang ke Kuching hari ini dan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk penghormatan terakhir.
Jenazah Allayarham akan disembahyangkan di Masjid Demak sebelum disemadikan di sebelah pusara isteri pertamanya, Toh Puan Laila Taib di kediaman peribadi mereka di Demak Jaya.
Sebelum ini, Abdul Taib merupakan satu-satunya figura politik era penubuhan Malaysia yang masih hidup dan pernah berada dalam Kabinet Sarawak yang ditubuhkan pada 22 Julai 1963.