Polis menahan seorang tukang kebun kerana disyaki menceroboh dan mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah asrama sekolah di Kemaman, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan, Hanyan Ramlan, berkata lelaki berumur 32 tahun itu dikatakan memakai topeng muka dan bersembunyi di bawah katil, kira-kira jam 3 pagi.

"Dalam kejadian itu, suspek dikatakan keluar dari bawah katil secara tiba-tiba dan terus menghampiri tiga pelajar perempuan, lalu meminta telefon bimbit sambil meraba seorang daripadanya di bahagian paha.

"Suspek turut mengugut pelajar berkenaan supaya berdiam diri dan mengancam dengan menyatakan dia mempunyai pisau. Bagaimanapun, seorang daripada pelajar itu nekad menjerit meminta tolong dan melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hanyan berkata suspek pada awalnya cuba mengejar pelajar itu namun akhirnya dia melarikan diri.

Kejadian itu hanya diketahui oleh warden apabila menerima aduan melalui aplikasi WhatsApp oleh seorang pelajar perempuan tingkatan lima, kira-kira pukul 3.15 pagi.

"Hasil rondaan warden dan pengawal keselamatan mendapati pagar asrama telah dipotong dan pisau pemotong dijumpai di bawah katil pelajar yang dikatakan suspek bersembunyi.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk ditahan reman bagi membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA