KUANTAN: Sebanyak 35 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah Raub yang terkesan dengan banjir telah ditempatkan di asrama sejak petang semalam bagi memudahkan mereka menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu bermula esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang Amzan Abd Malek berkata pihaknya mengaktifkan Ops Payung susulan banjir di Raub, Jerantut dan Lipis, namun daripada tiga daerah yang terkesan dengan bencana itu, hanya calon SPM di Raub yang terlibat setakat ini.

"Calon SPM untuk keseluruhan negeri Pahang adalah 20,404 orang dan daripada jumlah itu, hanya 35 calon dari enam sekolah di Raub iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, SMK Sungai Ruan, SMK Seri Raub, SMK Gali, SMK Sega dan Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Addiniah yang terjejas.

"Usaha membawa calon yang berada di PPS (pusat pemindahan sementara) telah dilakukan pegawai kita yang berbincang dengan ibu bapa bagi membenarkan anak mereka dibawa ke asrama berikutan ada antaranya, beranggapan situasi terkawal dan tidak perlu pemindahan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata proses perbincangan untuk membawa calon SPM ke asrama di Raub telah diusahakan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Raub bersama pengetua dan pengurusan sekolah terlibat.

"Usaha ini berhasil dan diterima baik oleh penjaga. Urusan menghantar anak-anak ke asrama yang ditentukan, adalah diuruskan ibu bapa atau penjaga sendiri yang sehingga malam ini, mereka telah ditempatkan di asrama sekolah berhampiran dengan pusat peperiksaan ataupun di sekolah asal calon," katanya.

Selain itu, Amzan berkata pihaknya turut bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam urusan koordinasi penghantaran pelajar serta pengawas peperiksaan.

"Kita ambil pendekatan memaklumkan kepada jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah masing-masing sekiranya terdapat jalan di kawasan banjir terputus yang menyukarkan pegawai peperiksaan ke pusat peperiksaan.

"Antaranya kita bekerjasama dengan APM untuk menggunakan kenderaan mereka membawa pengawas peperiksaan ke pusat peperiksaan sekiranya ada jalan tidak boleh dilalui. Kita sudah bersedia semuanya dan SPM akan berjalan seperti biasa di Pahang," katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 di semua negeri terjejas banjir akan diteruskan seperti yang dijadualkan bermula esok hingga Khamis.

Fadhlina berkata keputusan itu selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai situasi Monsun Timur Laut yang berkemungkinan berpanjangan hingga Februari 2025.

Semua calon terkesan banjir akan ditempatkan di asrama atau digerakkan ke pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan kesemua calon dapat keselesaan untuk menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.

-- BERNAMA