KOTA BHARU: Lapan keluarga kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka di Jalan Sultanah Zainab, di sini musnah dalam kebakaran kira-kira 8 pagi tadi.

Seorang mangsa Muhamad Haikal Hashim, 21, berkata dia menyedari kebakaran itu selepas adiknya yang berusia lima tahun mengejutkannya daripada tidur dan memberitahu ada asap di dapur.

"Saya terus bergegas ke dapur dan melihat api sedang menyambar dinding.

"Saya kemudian membawa adik keluar menyelamatkan diri kerana kedua ibu bapa, Mardiana Yaakub, 39, dan bapa, Hashim Yusuf, 46, sudah keluar ke pasar sejak awal pagi," katanya kepada pemberita.

Situasi di beberapa buah rumah yang terbakar sekitar jam 8 pagi di Jalan Sultanah Zainab, Kampung Sireh hari ini. - Foto Bernama

Menurut Muhamad Haikal, dia juga bertindak mengejutkan jiran dan mendapati api merebak dengan cepat pada dinding kayu kesemua rumah di situ.

Zarizi Dollah, 49, berkata dia kerugian agak besar kerana banyak ikan peliharaannya mati, namun bersyukur kerana sempat menyelamatkan abangnya, Khalid, 53, yang lumpuh seluruh badan.

"Selepas melihat keadaan api yang besar, saya terus mengarahkan seorang daripada anak saya membawa keluar abang ke tempat selamat menggunakan kereta sorong.

"Namun begitu, kesemua projek ikan hiasan yang saya usahakan sejak beberapa tahun lepas mati termasuk baka-baka bermutu tinggi," katanya yang menganggarkan kerugian lebih RM5,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Zukri Shafie berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.11 pagi dan tiba lima minit kemudian.

Beliau berkata ketika tiba di lokasi didapati kebakaran sudah hampir 50 peratus dan terus menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan dua pegawai dan 40 anggota daripada BBP Kota Bharu, BBP Darul Naim, BBP Tunjong serta BBP Pengkalan Chepa.

"Api dapat dikawal sepenuhnya pada 9.04 pagi manakala punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran sedang disiasat.

"Siasatan awal mendapati sebanyak tujuh rumah separuh kekal dihuni lapan keluarga terlibat dalam kejadian itu," katanya yang belum dapat mengesahkan jumlah keseluruhan mangsa terlibat.

-- BERNAMA