SUNGAI SIPUT: Tiga buah rumah dan tiga buah motosikal terbakar dalam kejadian lewat malam tadi di Kampung Baru Sungai Buloh, dekat sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran melibat tiga buah rumah jenis kelas A dan B, berkeluasan 25 x 65 kaki, terbakar 45 peratus pada rumah pertama jenis kelas B, 90 peratus pada rumah kedua jenis kelas B, termasuk sebuah motosikal dan 10 peratus rumah ketiga jenis kelas A termasuk dua buah motosikal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, katanya, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Kedudukan rumah dikatakan terlalu rapat dengan jarak antara setiap rumah kira-kira tiga meter.

Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan ‘size-up’ seterusnya mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota membuat pemadaman menggunakan dua aliran hos, 200 kaki, tiga pancutan di bahagian hadapan manakala satu aliran hos, 200 kaki, dua pancutan pada bahagian belakang rumah, bersumberkan air dari pili bomba, pam dan jentera.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal pada jam 10.48 malam dan padam sepenuhnya pada jam 1.39 pagi tadi.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Shamsul Othman turut dibantu pasukan dari BBP Kuala Kangsar.