Sejumlah 523 mangsa daripada 159 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir di Bahagian Kuching dan empat lagi di Bahagian Samarahan setakat 8 pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata di Bahagian Kuching, pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya menempatkan 60 orang, Dewan Masyarakat Stapok (112 orang) dan SMK Bako (78 orang).

"Di Samarahan, pusat pemindahan Dewan Komuniti Jaie menempatkan 62 orang, Masjid Lot Kampung Tambirat (132 orang), Dewan Suarah Samarahan (71 orang) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan Putit (lapan orang)," katanya ketika dihubungi Bernama.

Siti Huzaimah berkata bilik gerakan bencana banjir negeri dibuka 24 jam dan orang ramai yang mahu mendapatkan atau menyalurkan maklumat mengenai sebarang bencana boleh menelefon 082-447000.