Tujuh pelajar lelaki cedera selepas bas sekolah dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, berhampiran Felda Air Tawar 2, dekat Kota Tinggi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata kemalangan berlaku kira-kira 6.30 pagi ketika bas berkenaan dari Felda Air Tawar 3 sedang membawa kesemua pelajar tersebut ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Tawar di Felda Air Tawar 2.

"Tiada kemalangan jiwa. Hanya tujuh pelajar lelaki cedera ringan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahsmon berkata selain pelajar, pemandu bas sekolah turut cedera ringan.

Katanya kesemua mangsa kemudian dirawat di Hospital Kota Tinggi dan Klinik Felda Air Tawar 2.

Difahamkan, lori terbabit datang dari arah bertentangan iaitu dari Bandar Penawar menuju ke Kota Tinggi dan pemandunya pula tidak mengalami kecederaan.

Ahsmon berkata siasatan lanjut mengenai kemalangan terbabit sedang dijalankan.

-- BERNAMA