Menunggu detik-detik indah untuk melahirkan anak sulung adalah merupakan antara saat-saat paling bermakna buat seorang wanita.

Tetapi bagi Wan Fariza Wan Muhamad Zin, yang mengandung 6 bulan, saat-saat itu berbaur derita.

Ini ekoran syarikatnya, True Fitness, menamatkan operasinya di Malaysia tanpa memberikan sebarang notis atau bayaran pampasan untuk pekerjanya.

“Apa yang saya terkilan, kami diberhentikan tanpa notis. Tidak dapat notis 24 jam pun. Kalau ikutkan kontrak pun, bila kita hendak berhenti kerja pun, (kita) kena bagi notis.

“Saya tak ada pendapatan selepas ini. Sampai  saya selamat lahirkan anak apa yang saya boleh buat mungkin tahun depan sahaja. Saya akan cuba cari kerja lain lah.

“Macam keadaan saya sekarang, agak sedihlah. Saya sekarang mengandung. Dua minggu lagi kita akan raya. Saya pun tak tahu macam mana hidup saya.

"Boleh kata dalam lima bulan ini saya akan 'lost' (hilang), semuanya akan bergantung kepada suami. Semuanya suami saya sahaja," katanya sambil menangis.



Wan Fariza bersedih kerana dia tidak akan mempunyai pendapatan bulanan selepas ini dan hanya boleh cuba mencari pekerjaan baru selepas melahirkan anak tahun hadapan.

Bagi Nursyafira Amisaa Saiful Zamani yang sebelum ini bekerja selama satu tahun setengah di bahagian pentadbiran True Fitness, Hari Raya tahun ini menjadi kurang bermakna.

“Ini merupakan Hari Raya pertama saya bersama anak sulung saya yang berusia 6 bulan. Saya kehilangan kerja dengan tiba-tiba dan terpaksa bergantung pada suami.

"Sedih. Tak ada sumber duit. Anak nak kena guna lampin, dan banyak lagi keperluan. Bukannya nak makan pasir. Kalau betul hendak tutup, cakaplah awal-awal. Berilah notis. Bolehlah (kami) cari kerja lain,” katanya.



Kavitha Letchumanan, 30, eksekutif kawalan kredit kanan True Fitness pula, sudah merancang melangsungkan perkahwinan hujung bulan ini.

“Hujung bulan ini adalah perkahwinan saya. Saya memang berharap sangat kepada gaji bulan ini. Malangnya, syarikat tutup begitu sahaja. Mereka hanya maklumkan mengenainya melalui Whatsapp.

Hujung bulan ini adalah perkahwinan saya. Saya memang berharap sangat untuk gaji bulan ini

“Ini satu dugaan yang teramat sangat, di mana kami tidak boleh tanggung perbelanjaan kami. Saya pekerja tetap di sini dan sepatutnya diberi notis. Tetapi, notis tak ada, pejabat tutup, semua tutup,” katanya.

Lebih 50 bekas pekerja True Fitness Malaysia hari ini tampil di Jabatan Tenaga Kerja, Subang Jaya untuk memfailkan aduan selepas pusat kecergasan itu menutup operasinya di negara ini.

Pekerja-pekerja True Fitness yang terjejas itu turut bercadang untuk membuat laporan polis.

Pada 10 Jun, True Fitness dan True Spa Malaysia dilaporkan telah menamatkan operasinya di sini.

Dalam satu kenyataan di laman webnya, pusat itu yang telah beroperasi di Malaysia selama 12 tahun, berkata penamatan operasi itu ekoran prestasi perniagaan yang tidak menguntungkan.

Cubaan Astro AWANI untuk mendapatkan reaksi dari ibu pejabat True Fitness di Singapura sebelum ini gagal.