Satu-satunya masjid yang menyediakan juadah istimewa itu lebih 80 tahun lalu, persiapan awal telah dilakukan untuk memasak enam periuk bubur lambuk untuk diagihkan pada hari pertama berpuasa.
Menurut Pengerusi Masjid India Muslim Ipoh, Shaik Mujibur Rahman Mohd Yusoff, pihaknya memberi jaminan keenakan juadah itu tidak berubah kerana menggunakan resipi tradisional yang masih disimpan rapi.
Tambahnya, tukang masak baharu telah dilantik bagi menggantikan Mustafha Kamal Varusai Mohamad yang meninggal dunia Disember lalu.
"Walaupun tukang masak berbeza, kita mengikut resipi masyarakat India Muslim menggunakan lebih 16 rempah ratus yang disesuaikan dengan selera masyarakat setempat.
"Tukang masak dan pembantu lain telah membersihkan periuk dan peralatan lain untuk memasak bubur lambuk sebelum diagihkan sekitar jam 4.30 petang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurutnya, menjadi tradisi di masjid berkenaan apabila orang ramai yang datang perlu membawa bekas makanan sendiri.
"Kos hampir RM2,000 diperlukan untuk memasak lebih 150 kilogram beras, daging kambing dan bahan-bahan lain.
"Bubur lambuk daging kambing ini dimasak selang sehari dengan bubur lambuk biasa. Bubur lambuk kambing akan disediakan pada puasa hari ganjil," katanya.
Sementara itu, tukang masak, Mohd Rafi Mustafa berkata, keluarganya teruja dapat menghulurkan bantuan untuk memasak juadah berbuka puasa itu.
"Kami mengambil inisiatif menutup perniagaan kedai makan selama sebulan bagi menumpukan tugas memasak bubur lambuk kambing yang popular di masjid ini.
"Pengalaman 20 tahun sebagai tukang masak akan digunakan untuk menyediakan juadah sepanjang Ramadan ini," katanya. - Sinar Harian