Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ini bagi mengelakkan berlakunya senario kurang enak dalam kalangan kanak-kanak bukan Islam yang terpaksa makan di Kawasan-kawasan yang tidak sepatutnya.
Katanya, keperluan kantin sekolah dibuka bukan sahaja bagi menyantuni pelajar yang bukan Islam malah kanak-kanak Islam yang belum wajib berpuasa.
“Untuk pengusaha kantin, saya sarankan untuk teruskan dibuka, ada kanak-kanak yang beragama Islam yang tidak wajib lagi berpuasa. Kita tak nak ada senario anak-anak ini makan di tepi longkang, di stor dan sebagainya, saya tidak mahu situasi itu berlaku. Jadi kita kena hormati budaya dan agama masing-masing dan harus bersifat inklusif, maka tiada keperluan untuk tutup.
"Saya sarankan untuk terus buka dan pengusaha kantin perlu berbincang dengan pihak sekolah,” katanya.
Kenyataan ini dibuat selepas Majlis Penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah Yayasan Petronas 2023 yang diadakan di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (L) Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Fadhlina berkata, adalah tidak wajar memaksa murid-murid bukan Islam untuk menahan lapar dan dahaga jika melihat rakan-rakan mereka yang beragama Islam berpuasa di bulan Ramadan.