Golongan memerlukan itu dapat memilih pakaian raya berkualiti pada harga mampu milik yang ditawarkan usahawan tempatan iaitu jenama Liyana Collection (LYC) dengan harga bermula serendah RM35, Nabella Butik (RM39), manakala Duchess Exclusive By CPG dan Qamraa masing-masing (RM59).
Pengasas Duchess Mawar Ismail berkata pihaknya bersama tiga lagi jenama itu berpandangan keadaan ekonomi semasa yang perlahan mendorong peniaga untuk memberikan tawaran pakaian raya pada harga rendah kepada golongan B40 sekali gus dapat menggembirakan mereka dalam menyambut Aidilfitri nanti.
"Kita (buat) pengeluaran besar, masih ada untung tetapi taklah sebanyak untung kalau jual (seperti) harga normal. Memandangkan keadaan ekonomi sekarang ini nampak perlahan dengan anak nak sekolah dan (sambut) raya, kami rasa tak apalah jual harga Rahmah, barang terjual dan orang pun dapat baju, itu yang penting," kata pada sidang media di sini.
Pada 15 Mac lepas, empat jenama itu bergabung menganjurkan pertunjukan fesyen di Alor Setar bagi memperagakan rekaan dan koleksi baju raya masing-masing yang dihadiri kira-kira 500 orang selain agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Mengulas lanjut, Mawar berkata harga Rahmah yang ditawarkan itu akan berterusan meskipun selepas raya nanti dan pihak Duchess menyediakan pelbagai reka bentuk pakaian terutamanya daripada segi corak yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa untuk mengekalkan kelainan.
Sementara itu, Pengurus LYC Noraizat Abdul Ghani berkata sekiranya stok baju Rahmah itu kehabisan, pihaknya akan menambah stok baju berkenaan dengan reka bentuk dan warna pakaian yang berlainan untuk memastikan pelanggan menikmati kelainan untuk baju raya mereka.
"Jadi, untuk raya macam Baju Rahmah, kita ada kurta dan untuk baju budak-budak pun ada yang harganya RM35...setakat ini kebanyakan pelanggan kami yang berulang-ulang datang membeli, jadi kami nak pastikan mereka ada pengalaman berbeza dengan reka bentuk dan baju yang lain," katanya.
Pengarah Urusan Qamraa Rabia Saad pula berkata pihaknya mengeluarkan pakaian pada harga Rahmah kerana mengambil kira faktor situasi selepas pandemik COVID-19 apabila tingkah laku pembelian pelanggan telah berubah kepada memilih pakaian yang harganya murah berbanding mementingkan aspek jenama.
"Dulu Qamraa ini tak ada baju pada harga Rahmah ini, semua baju kami selalunya lebih RM200, tetapi bila kita tengok orang sekarang lepas COVID-19, tingkah laku pun dah berubah, iaitu kalau murah pelanggan akan beli, dia dah tak ikut sangat brand," katanya.
Dalam pada itu, Pengasas Nabella Butik Siti Nabilah Dol Bahrin berkata pihaknya juga memfokuskan kepada kepelbagaian reka bentuk pakaian termasuk baju harga Rahmah bagi menawarkan banyak pilihan kepada pelanggan pada harga mampu milik.
-- BERNAMA