Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan pelantikan beliau sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi juga telah membuat kenyataan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pelantikan itu.

Hishammuddin menjelaskan beliau akan bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan tugas-tugas yang akan digalas.

"Ini keputusan perdana menteri sendiri, jangan ada mana-mana pihak cuba nak gembar-gemburkan atau cuba nak cari perkara-perkara yang boleh laga-lagakan kita pulak kerana Datuk Seri Zahid telah buat kenyataan dia setuju perkara ini.

"Saya terima ini sebagai satu amanah, we just look ahead (pandang ke depan). Ini yang penting dari melayan pihak-pihak yang tak pernah setuju dengan apa yang kita buat," katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Muslim World League merangkap Penasihat kepada Raja Arab Saudi, Sheikh Dr Mohamed Abdul Kareem Al-Issa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin menjelaskan pelantikannya sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas itu merupakan peluang untuk bersama Timbalan Perdana Menteri membantu Datuk Seri Najib Tun Razak mentadbir negara dengan lebih berkesan.

Beliau juga menganggap pelantikannya itu sebagai satu kepercayaan dan penghormatan yang cukup dihargai.

"Pelantikan ini merupakan satu amanah kepada saya dan saya akan memastikan amanah ini akan dipikul sedaya upaya," katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin bagaimanapun masih kekal sebagai Menteri Pertahanan.

"Pelantikan ini akan membolehkan YB Datuk Seri Hishammuddin menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pertahanan," menurut kenyataan itu lagi.