KUALA LUMPUR: Kemunculan pemain sayap Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim yang 'bertopeng' dalam sesi pemanas badan pasukan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu lepas mencuri tumpuan umum.

Topeng muka itu bukanlah seperti topeng adiwira yang biasa dilihat, sebaliknya ia adalah rekaan khas oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) hasil kajian melalui BioApps Sdn Bhd berdasarkan nasihat daripada Jabatan Pemulihan Kecederaan Sukan.

UM dalam kenyataan hari ini memaklumkan BioApps Sdn Bhd adalah syarikat spin-off UM yang ditubuhkan di bawah Centre for Applied Biomechanics (CAB), Fakulti Kejuruteraan dan kini menyediakan perkhidmatan prostetik dan ortotik tunggal untuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Antara penyelidik terlibat dalam penghasilan topeng muka berkenaan antaranya Naib Canselor UM Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman yang juga pakar penyelidik biomekanik dan rekabentuk prostetik.

"Penghasilan topeng muka khas ini adalah satu strategi utama UM untuk memasyarakatkan impak komuniti daripada kepakaran dan hasil penyelidikan universiti," kata Noor Azuan dalam kenyataan itu.

Pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan, Fakulti Perubatan UM, Dr Ahmad Hazwan Ahmad Shushami yang meneliti dan menilai kondisi Faisal pula berpendapat pemain The Red Giants itu memerlukan topeng muka khas bagi melindungi parut dan kecederaan beliau untuk kembali beraksi di padang.

Oleh itu, dalam tempoh seminggu, BioApps Sdn Bhd berjaya menghasilkan topeng berkenaan setelah menerima rekomendasi daripada pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan.

Menurut Pakar Prostetik dan Ortotik BioApps Sdn Bhd Muhammad Hazim Kamaruzaman berkata topeng tersebut diperbuat daripada bahan carbon fibre yang lebih ringan dan nipis supaya memberi keselesaan kepada Faisal untuk kembali beraksi di padang selain melindungi saraf dan luka pemain itu yang masih belum pulih.

"Topeng muka khas tersebut telah dihasilkan berdasarkan kondisi parut muka yang agak serius dan telah melalui beberapa peringkat pengukuran dan pengujian tahap keselesaan sebelum penghasilan peringkat akhir," katanya.

Pelajar pascasiswazah kejuruteraan mekatronik Fakulti Kejuruteraan UM, Mouaz Al Kouzbary yang turut terlibat dalam penghasilan topeng itu pula berkata untuk mengenal pasti bentuk kepala dan muka, pihaknya menggunakan teknologi saringan 3D manakala untuk menghasilkan topeng, teknologi percetakan 3D diperlukan.

Sementara itu, Faisal dalam kenyataan sama mengakui topeng muka khas itu membantu melindungi parut muka beliau semasa menjalani latihan dan perlawanan.

"Saya rasa kembali normal dan selesa untuk beraksi di padang. Mungkin pada pandangan masyarakat, pemakaian topeng muka tersebut agak janggal tetapi saya memerlukannya sehingga luka dan parut muka saya kembali pulih," katanya yang kini fokus kepada tahap persediaan diri.

Faisal yang lebih mesra disapa Mickey, membuat kemunculan kali pertama di khalayak ramai pada 16 Jun lepas pada perlawanan Piala FA antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC.

Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

-- BERNAMA